PETALING JAYA: Lebih mengenali hati budi, pempengaruh dan usahawan, Ameera Khan berharap agar masyarakat tidak mudah menghakimi pelakon Indonesia, Jefri Nichol dengan melabelnya sebagai ‘red flag’.
Ameera atau Nur Ameera Abdul Halim Khan, 24, berkata sepanjang mengenali pelakon itu secara peribadi, Jefri bukanlah seorang lelaki yang mempunyai perilaku toksik.
“Lelaki kalau wajahnya kacak, terkenal, dan ada semuanya tapi buka seorang ‘playboy’, saya yang akan risau. Asalkan dia bukan kaki perempuan semasa bersama saya.
“Apabila saya boleh buat lawak semua komen anda (warganet) itu bermaksud saya tidaklah menganggap komen itu serius.
“Saya kenal dia (Jefri) secara peribadi dan sayangnya anda semua tidak.
“Contohnya anda tengok saya dan tiba-tiba kata saya seorang ‘red flag’, apa yang saya buat?” katanya dalam sebuah video tular daripada sesi siaran langsung di aplikasi TikTok.
Bagaimanapun, adik kepada selebriti Neelofa itu berterima kasih kepada peminat yang risau dan selalu mengambil berat tentang hubungan cintanya.
“Tapi terima kasih kerana ambil berat tentang diri saya, Alhamdulillah saya okay.
“Terima kasih juga kerana mahu melindungi saya, tapi tiada apa yang perlu awak lindungi kerana saya selamat,” katanya.
Ketika ditanya mengenai perkahwinan, dia tidak tergesa-gesa mahu bergelar seorang isteri namun selalu berdoa untuk dijodohkan bersama pelakon Ali Topan itu.
“Ya, saya harap begitu, InsyaAllah. Semestinya saya mahu hidup bersamanya. Saya berdoa untuk kekal bersamanya.
“Soal nikah, saya muda lagi, baru berusia 24 tahun,” katanya.
Walaupun masing-masing tidak membuat kenyataan mengenai kesahihan hubungan mereka, Ameera dan Jefri mencuri tumpuan apabila memanggil masing-masing dengan gelaran ‘sayang’.
Malah, sebelum ini Ameera pernah berkata keluarganya turut merestui hubunganya dengan pelakon Indonesia itu. -UTUSAN