Arus Academy, FWD Insurance lancar program Fun(d) For Life

Arus Academy, FWD Insurance lancar program Fun(d) For Life

SEE Sen (tiga,kiri) bersama Alina (empat,kiri) bergambar bersama para tetamu selepas merasmikan program Fun(d) For Life bertempat di Bangunan AICB di sini hari ini. - UTUSAN/ M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Arus Academy dengan kerjasama bersama FWD Insurance Berhad (FWD Insurance) melancarkan program Fun(d) For Life bagi para pelajar kurang berkemampuan berusia 18 hingga 24 tahun. 

Menerusi program tersebut, pelajar berpeluang belajar lebih lanjut mengenai pengurusan kewangan yang dapat membantu mereka memupuk literasi kewangan sebelum melangkah ke dunia pekerjaan. 

Dalam pada itu, pelajar yang terpilih juga berpeluang mendapat wang saku sebanyak RM3,000 bagi kegunaan sendiri. 

Difahamkan, program Fun(d) for Life bermula sejak tahun 2019 dan telah memberi impak kepada lebih 40,000 orang murid di seluruh Malaysia. 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FWD Insurance, Mark See Sen, kolaborasi bersama Arus Academy bukanlah satu perkara yang baharu kerana mereka pernah bekerjasama dalam satu program literasi kewangan khas untuk sekolah rendah dan menengah.

Katanya, program sebegini amat penting untuk memastikan pelajar dapat menguruskan kewangan dengan baik memandangkan cabaran kewangan yang terpaksa dihadapi kini amat berbeza dengan zaman dahulu. 

“Dulu, masyarakat mempunyai kehidupan yang lebih ringkas. Lagipun, 20 tahun dulu, belum wujud telefon pintar yang mahal. Jadi, kehendak untuk membeli barang-barang berjenama ini lebih besar bagi generasi sekarang. 

“Bagi saya, fasa transisi dari zaman universiti ke zaman pekerjaan sangat penting. Inilah waktu terpenting untuk memupuk literasi kewangan yang pastinya dapat membawa perubahan positif dalam kehidupan peribadi pelajar tersebut pada masa hadapan,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Program Fun(d) For Life bertempat di Bangunan AICB di sini hari ini. 

MARK See Sen

See Sen berkata, peserta program Fun(d) For Life kali ini bakal mendapat wang saku sebanyak RM3,000 bagi membantu mereka memupuk tabiat kewangan sihat. 

“Jumlah tersebut mungkin tidak banyak bagi pelajar berkemampuan, namun bagi mereka yang memerlukan, ia dapat membantu mereka menampung perbelanjaan di ibu kota.

“Tetapi, apa yang lebih penting, pelajar boleh mengaplikasikan apa yang mereka belajar semasa program tersebut untuk menguruskan wang tersebut dengan lebih baik,” katanya. 

ALINA Amir

Sementara itu, CEO dan pengasas bersama Arus Academy, Alina Amir berkata, program Fun(d) For Life bakal dilaksanakan dalam beberapa fasa untuk memastikan pelajar dapat mengaplikasikan pembelajaran mereka di dunia nyata.

Jelasnya, pelajar bakal menyertai kem selama tiga hari yang mendedahkan mereka kepada kepentingan literasi kewangan supaya mereka dapat membentuk tabiat kewangan sihat. 

“Dalam program ini, kami akan memilih pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan dengan latar belakang berbeza. Kami juga mempertimbangkan pelajar berkeperluan khas atau dari kalangan kurang upaya (OKU) supaya mereka dapat diberikan pendedahan yang sewajarnya.

“Kemahiran kewangan merupakan satu perkara yang penting. Ia bukan sahaja penting ketika di universiti sahaja, tetapi sepanjang hayat. Sebab itulah, program yang pada awalnya dibuat untuk pelajar sekolah rendah dan menengah ini diteruskan kepada peringkat universiti pula,” jelasnya.

SEE Sen (dua,kiri) dan Alina (tiga,kiri) selepas merasmikan program Fun(d) For Life bertempat di Bangunan AICB di sini hari ini. – UTUSAN/ M. FIRDAUS M. JOHARI


Alina berkata, literasi kewangan merupakan satu skil yang perlu dipelajari oleh semua orang tanpa mengira jantina, kaum atau usia. 

“Terlalu banyak godaan yang wujud sekarang. Tanpa kesedaran mengenai kepentingan pengurusan kewangan bijak, ramai yang terpedaya dengan penipuan.

“Sebab itulah program ini penting. Ia dapat membantu pelajar mengasah skil supaya tidak mudah tertipu atau terjerat dengan hutang pada masa hadapan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya