KUALA LUMPUR: Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) enggan mengulas lanjut mengenai penglibatan kakitangannya dalam kes pemalsuan surat tawaran kelulusan Lesen Kenderaan Perdagangan (LKP).
Ketua Pengarah APAD, Datuk Azlan Shah Al Bakri berkata, sebarang maklumat lanjut mengenai penangkapan perlu dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Jelasnya, pihak APAD tidak mempunyai sebarang kaitan dengan isu tersebut
“Sebarang penangkapan perlu dirujuk kepada agensi penguatkuasa. Kita tidak ada kena mengenai dengan isu ini.
“Kita biarkan agensi penguatkuasa menjalankan tugas. Apa-apa, pihak media perlu rujuk SPRM,” katanya ditemui di sidang media Penambahbaikan Jadual Bersepadu KTM Komuter Laluan Pelabuhan Klang-KL Sentral, di sini hari ini.
Pada 8 Januari, SPRM menahan lapan individu termasuk pengarah sebuah agensi kerajaan selain tiga pengarah syarikat lain ekoran disyaki bersubahat dalam urusan kelulusan lesen kenderaan perdagangan.
Menurut sumber, kesemua suspek berusia lingkungan 30 hingga 50-an ditahan di beberapa lokasi berbeza sekitar Melaka dan Lembah Klang.
Penahanan itu dibuat menerusi Op Loader yang dijalankan Bahagian Perisikan SPRM.
Katanya, kesemua suspek yang ditahan disyaki terbabit dalam kegiatan mendapatkan surat tawaran kelulusan LKP daripada sebuah agensi. – UTUSAN