PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Republik Indonesia, Prabowo Subianto, mengadakan perbincangan secara tertutup melibatkan isu kepentingan dua negara antara Malaysia dan Indonsia.
Anwar berkata, isu yang menjadi perbincangan adalah melibatkan hal perbatasan, pengambilan tenaga kerja, koordinasi hal nelayan di kawasan pertikaian Selat Melaka, perdagangan, pelaburan, ekonomi, sosio budaya, pertahanan dan keselamatan.
“Ruang lingkup singkat dan bermakna ini kami manfaatkan sepenuhnya bagi terus mempereratkan hubungan erat yang terjalin selama ini,” katanya menerusi satu kenyataan.
Perbincangan ini dilakukan ketika majlis makan tengah hari di Rumah Tangsi, Kuala Lumpur sebagai salah satu agenda daripada lawatan kerja sehari Prabowo ke negara ini.
Indonesia merupakan rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia pada peringkat global dan ketiga terbesar dalam kalangan negara Asean pada 2023.
Jumlah dagangan antara kedua-dua negara mencecah RM111.21 bilion tahun lepas.Bagi tempoh Januari hingga Oktober 2024, dagangan dua hala bernilai RM95.50 bilion berbanding RM94.37 bilion bagi tempoh yang sama pada 2023. – UTUSAN