PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan mengadakan lawatan kerja ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk menghadiri Minggu Kelestarian Abu Dhabi (ADSW) bermula esok hingga 14 Januari ini.
Menurut Kementerian Luar, lawatan itu atas jemputan Naib Presiden dan Perdana Menteri UAE merangkap Pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum.
Kata Wisma Putra, Anwar turut menyertai Majlis Pembukaan ADSW dan Majlis Anugerah Hadiah
Kelestarian Zayed bersama ketua-ketua negara dan kerajaan dari rantau Afrika, Asia, Asia Tengah, Eropah, dan Timur Tengah.
“Program ADSW 2025 turut merangkumi sesi plenari yang mana Perdana Menteri akan menyertai dialog bertajuk ASEAN’s Interconnected Future: Linking Energy, Trade & Prosperity.
“Perdana Menteri turut mengetengahkan perspektif dan pengalaman Malaysia dalam peralihan ke arah sumber tenaga lestari,” katanya.
Semasa lawatan ini juga, Anwar dijadual mengadakan pertemuan dengan Presiden UAE merangkap Pemerintah Abu Dhabi, Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan, dan rakan sejawatnya, Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum.
Kata Wisma Putra, perbincangan dijangka tertumpu kepada pengukuhan hubungan dua hala dan meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang berkepentingan bersama.
“Ini khususnya dalam sektor-sektor utama seperti tenaga boleh baharu, keterjaminan makanan dan tenaga, kecerdasan buatan dan pusat data.
“Selain itu, isu-isu serantau dan global yang berkepentingan turut akan dibincangkan,” katanya.
Di sela-sela ADSW, Perdana Menteri juga dijadual menyaksikan pemeteraian Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Malaysia-UAE (CEPA).
Katanya, perjanjian ini membuka peluang baharu dalam sektor perdagangan, pelaburan dan kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara.
Selaku Pengerusi ASEAN 2025, Perdana Menteri juga meneroka peluang untuk mengukuhkan kerjasama serantau, terutamanya dalam konteks peranan ASEAN dalam mempromosikan pembangunan lestari dan inovasi hijau di Asia Tenggara.
Seusai lawatan UAE, Anwar dijadual ke London, United Kingdom dari 15 hingga 19 Januari sebagai usaha meningkatkan kedudukan global Malaysia dan memperkukuhkan hubungan strategik negara dengan rakan antarabangsa utama.
Dari Januari hingga November 2024, jumlah dagangan antara Malaysia dan UAE bernilai RM39.53 bilion (AS$8.61 bilion).
Pada tahun 2023, UAE merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia di Timur Tengah, dengan jumlah dagangan sebanyak RM39.63 bilion (AS$8.67 bilion).
Malaysia ialah rakan dagang keempat terbesar UAE dalam kalangan Negara-negara Anggota ASEAN dan ke-32 terbesar di peringkat global. – UTUSAN