PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Presiden Majlis Muslim Belgium, Esma Ucan sempena lawatan kerja dua hari beliau ke Brussels.
Perdana Menteri berkata, pertemuan itu dimanfaatkan untuk bertukar pandangan dan berkongsi peranan Malaysia dalam mempromosikan keamanan, keharmonian sejagat serta menangani isu ekstremisme dan masalah serantau.
“Ruang yang ada ini saya gunakan untuk bertukar pandangan dan berkongsi peranan dimainkan Malaysia terkait mempromosikan keamanan, keharmonian sejagat, ekstremis dan juga isu serantau termasuk situasi di Gaza,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Pertemuan tersebut menekankan pentingnya dialog antara pihak berbeza dalam memupuk persefahaman dan menyelesaikan konflik terutama dalam isu melibatkan umat Islam sejagat.
Lawatan kerja Anwar ke Brussels turut merangkumi usaha memperkukuh hubungan diplomatik antara Malaysia dan Kesatuan Eropah (EU) serta membuka peluang kerjasama strategik dalam pelbagai sektor. – UTUSAN