PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang dalam lawatan kerja tiga hari ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) bermula semalam, dijadualkan bertemu Naib Presiden dan Perdana Menteri UAE, Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum hari ini.
Perbincangan dijangka tertumpu kepada usaha mengukuhkan hubungan dua hala dan meneroka peluang dalam tenaga boleh diperbaharui, sekuriti makanan serta tenaga, kecerdasan buatan dan pusat data serta isu serantau dan global yang menjadi perhatian bersama.
Terdahulu beliau akan memulakan lawatan di hari kedua di sini dengan perjumpaan dengan pihak Dana Kekayaan Berdaulat UAE.
Mesyuarat perniagaan pula dimulakan dengan pertemuan Anwar dengan Ketua Pegawai Eksekutif Masdar Mohamed Jameel Al Ramahi, diikuti Pengarah Urusan Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi (ADIA), Sheikh Hamed bin Zayed Al Nahyan serta Pengarah Urusan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Mubadala, Khaldoon Khalifa Al Mubarak.
Lawatan Perdana Menteri itu atas jemputan Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum bagi menghadiri Minggu Kelestarian Abu Dhabi (ADSW).
Anwar tiba di UAE malam tadi apabila pesawat khas yang membawanya mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Abu Dhabi pada jam 9 malam waktu tempatan (jam 1 pagi Isnin waktu Malaysia).-UTUSAN