KUALA LUMPUR: Majlis Anugerah MiSHA 2024 meraikan pencapaian cemerlang organisasi serta individu dalam sektor keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) di Malaysia.
Majlis dianjurkan oleh Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Perindustrian Malaysia (MiSHA) dan menyaksikan penyertaan lebih 150 organisasi dari pelbagai sektor yang telah berjaya mengangkat standard keselamatan tempat kerja menerusi inovasi dan kepimpinan.
Presiden MiSHA, Aziz Basiran berkata, penganjuran ini menjadi platform untuk memupuk jaringan kerjasama antara pemimpin industri dan pemain utama dalam bidang keselamatan pekerjaan.
Katanya, ia bukan sahaja bertujuan memberi penghargaan, malah menjadi ruang untuk berkongsi ilmu dan kepakaran dalam memperkasakan keselamatan di tempat kerja.
“Melalui kolaborasi seperti ini, kita dapat meningkatkan prestasi keselamatan dan kesihatan pekerjaan di seluruh negara.
“MiSHA komited dalam usaha membantu perusahaan serta individu dalam memperkukuh amalan OSH mereka,” katanya semasa merasmikan majlis di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, sekali gus menyampaikan anugerah tertinggi iaitu MiSHA Platinum Awards on OSH Principle of Prevention (OSHPoP) 2024 serta Anugerah Khas Menteri.
Mengulas lanjut, Aziz berkata, majlis tersebut menjadi bukti dedikasi MiSHA untuk terus memacu kecemerlangan keselamatan pekerjaan di Malaysia.
Jelasnya, program ini tidak hanya memberi pengiktirafan tetapi turut menyemai kesedaran terhadap pentingnya amalan keselamatan di tempat kerja.
“Majlis ini mengangkat semangat kerjasama dan kekuatan kolektif yang menjadi asas kejayaan industri. Melalui visi bersama dan sokongan padu, MiSHA yakin Malaysia mampu mencapai standard keselamatan pekerjaan yang lebih tinggi di peringkat global.
“Anugerah MiSHA 2024 melakar sejarah sebagai platform yang mengiktiraf usaha gigih organisasi dalam mewujudkan persekitaran kerja yang lebih selamat, sejajar dengan aspirasi nasional ke arah kecemerlangan keselamatan pekerjaan,” katanya.