PUTRAJAYA: “Belum pilihan raya lagi, dia (Tan Sri Annuar Musa) boleh hidup dengan angan-angan,” kata Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi menyifatkan, kenyataan Annuar sebagai angan-angan kosong apabila membayangkan rakyat Malaysia bakal menerima Perdana Menteri Ke-11 dengan pilihan raya umum berlangsung dalam masa terdekat.
Sebelum ini, Annuar dalam satu hantaran di Facebook (FB) turut berkongsi satu gambar beliau bersama bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Presiden Muafakat Nasional (MN) itu berkata, Perdana Menteri ke-11 akan menjadi penyatu kepada seluruh orang Melayu, bumiputera dan umat Islam di negara ini.
Jelasnya lagi, Perdana Menteri baharu juga akan membantu memperkukuh perpaduan nasional pelbagai kaum yang sejati.
“PM 11 juga akan turut berpeluang mengembelingkan tenaga dan pemikiran enam mantan PM yang masih hidup serta berupaya membantu PM 11 memaju dan membangun negara secara lebih berkesan,” katanya.
Katanya lagi, beliau juga mampu menamatkan politik dendam dan ‘witch hunting’ sebaliknya menjadi simbol penyatuan dan perpaduan dengan tumpuan membela rakyat.
Annuar kemudian mengakhiri hantarannya dengan ayat ‘Selamat Datang Perdana Menteri Malaysia Yang ke 11’. – UTUSAN