SELAIN Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Liza Hanim dan Noraniza Idris yang syarikat rakaman Suria Records (SRC) lahirkan, seorang lagi penyanyi sezaman cukup saya kagumi ialah Anis Suraya.
Pemilik nama penuh, Tengku Ani Soraya Tengku Abdullah Sulaiman ini antara penyanyi mengukir sejarah muziknya tersendiri menerusi hit sepanjang zaman, Cinta Tersimpul Rapi, ciptaan Azmeer dan lirik tulisan Lukhman S.
Lagu itu terus bertahan hampir tiga dekad itu yang dimuatkan dalam album pertamanya, Anis Suraya (1999) di bawah bimbingan Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan yang bertindak sebagai penerbit.
Album berkonsepkan pop dan balada mengandungi 10 trek lagu itu memainkan peranan amat besar dalam resumenya sebagai penyanyi rakaman, walaupun hanya satu lagu berjaya tembus dalam pasaran muzik tempatan.
Kelantangan vokal sepupu kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin itu menjadikan Anis antara bintang pop handalan Melayu era 90-an. Ini meskipun diskografinya kecil kerana hanya dikenali menerusi Cinta Tersimpul Rapi, Selamilah Hati Ini (album Getaran Cinta), Angin dan Hadirnya Dirimu (menampilkan Aqasha) (album Suara Hati).
Ketika pendengar hanya terbiasa mendengar lagu tersebut, Anis sebenarnya masih memiliki banyak lagu berpotensi menjadi pemberat katalog muziknya seperti Debu Berterbangan, Dahan Kasih, Pantai Yang Berubah, Setiap Nafasku Kernamu (Adnan/Hani MJ/Shaharum).
Ia benar-benar menguji corak dan peralihan vokal juara Voice of Asia, Kazakhstan pada 2000 ini dalam graf nyanyian yang seimbang turun naiknya.
Tulisan liriknya yang cukup kemas dan puitis menjadikan ketiga-tiganya sebagai karya sarat dengan melodi sentimental sifatnya.
Azmeer juga memberi dua lagi karya terbaik menerusi Rindu Dikala Resah dan Sirnanya Cahaya, yang menyuntik ilham lagu-lagu ciptaannya untuk Siti Nurhaliza seperti Nian Di Hati dan Milikmu Teristimewa.
Kemampuan Anis tidak hanya terikat kepada satu genre lagu, bahkan dia membuktikan kebolehannya menerusi irama tradisional Melayu, Joget Madah Bicara (Rahim Othman/Mega Mutiara) walaupun tewas di Separuh Akhir Muzik-Muzik 17 2002.
Ketika itu, Nirmala (Siti Nurhaliza), Joget Langkah Delapan (Syazliana), Hala Timur (Noraniza) dan Tenung-Tenung, Renung-Renung (Syura & M. Daud Kilau) mara ke AJL17.
Kesemua karya nyanyian Anis hanya berkitar dalam format yang sama – satu jaluran muzik pop yang berpaksikan cinta manusia dan jiwang karat.
Namun, saya percaya, lagu-lagu Anis yang tidak mendapat sambutan wajar mendapatkan keadilan di telinga pendengar, kerana besar sebenarnya usaha, tekad dan kos dilabur pengkarya menghasilkan produk seni yang berpotensi seperti ini.
Seandainya syarikat rakaman ketika itu tidak menafikan kemampuan yang ada dalam setiap lagu dan benar-benar mempromosi albumnya, diskografi Anis pasti lebih berkembang, manakala orang ramai tidak lagi melihatnya dalam bayangan Cinta Tersimpul Rapi.
Sayangnya, peserta program Sinaran Pasport Kegemilangan 1996 itu bukanlah penyanyi istiqamah dan sanggup mengabdikan dirinya sebagai penyanyi rakaman sepenuh masa.
Tiada apa yang pendengar mampu lakukan untuk mendengar dan melihat Anis bernyanyi semula secara profesional kerana keputusannya tidak lagi terlibat dalam bidang muzik secara komersial, malah enggan bertanding dalam program showbiz di kaca televisyen muktamad.
Saya optimis, dia mempunyai alasan tersendiri mengapa dia memilih jalan berbeza berbanding rakan penyanyi sezamannya yang masih bergelut untuk sentiasa relevan dalam industri muzik hari ini.
Anis kini hanya sebahagian daripada sejarah muzik Malaysia yang akan dikenang selamanya – dia yang pernah dikenali, digemari dan tersohor. Namun, kini hanya menjadi insan biasa dan bukan lagi tatapan awam.