PENDEDAHAN animasi seperti Mechamoto kepada pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dilihat mampu membantu mereka, khususnya golongan autisme untuk mengasah kreativiti dan meningkatkan daya imaginasi mereka.
Seramai 27 pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) daripada Sekolah Kebangsaan Bandar Tun Hussein Onn (2) baru-baru ini menyertai kempen interaktif yang dianjurkan oleh Prasarana Sdn. Bhd. dengan kerjasama Monsta Studios, yang menampilkan watak animasi popular, Mechamato.
Guru penyelaras PPKI, Rafidah Mehat berkata, program tersebut memberi impak positif kepada pelajar-pelajar istimewa, terutamanya dalam membantu mereka membina keyakinan diri serta memberi pendedahan mengenai penggunaan pengangkutan awam.
Menurut beliau, cabaran utama dalam melaksanakan program tersebut adalah memastikan keselamatan pelajar, memandangkan mereka memerlukan perhatian yang lebih daripada biasa.
“Arahan perlu diberikan berulang kali supaya dapat difahami dengan baik, namun kami amat gembira melihat mereka menikmati pengalaman ini.
“Mereka juga perlu menyesuaikan diri dengan persekitaran baru, termasuk bunyi bising yang sering menjadi cabaran utama bagi pelajar autisme,” katanya ketika ditemui Utusan Pelajar selepas
Majlis Pelancaran Tren dan Bas Bertemakan Mechamato di Stesen Monorel Hang Tuah.
Sementara itu, seorang pelajar PPKI, Nur Aina Raihana Mohd Hafiz Naqiuddin berkata, pengalaman itu sangat menyeronokkan baginya.- UTUSAN