KOTA BHARU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan terpaksa melepaskan tiga das tembakan pada bahagian tayar belakang sebuah lori bagi mematahkan cubaan menyeludup 1.24 juta batang rokok di di Kampung Mat Kancil, Padang Jelapang, Pasir Mas dekat sini, Rabu lalu.
Rampasan rokok itu dilakukan pada pukul 6.15 pagi hasil maklumat intipan dan risikan yang dilakukan oleh anggota bertugas.
Pengarahnya, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, semasa menghampiri lori itu, anggota bertugas memperkenalkan diri namun secara tiba-tiba suspek yang berusia 20-an bertindak agresif dengan cuba merempuh pasukan operasi.
Katanya, sebagai tindakan mempertahan diri, anggotanya melepaskan tiga das tembakan ke arah tayar belakang sebelah kanan lori.
“Suspek kemudian bertindak memandu lori dalam keadaan tayar yang pancit dan pasukan operasi mengekorinya sejauh dua kilometer dari Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang.
“Suspek memberhentikan kenderaan dipandunya di tepi jalan Mat Kancil dan melarikan diri ke kawasan semak,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Penguatkuasaan JKDM di sini, hari ini.
Wan Jamal Abdul Salam berkata, pemeriksaan ke atas lori terbabit menjumpai 124 peti rokok yang dipercayai diseludup dari negara jiran menerusi pangkalan haram di Tumpat.
Katanya, rampasan rokok termasuk cukai dianggarkan berjumlah lebih RM1 juta termasuk duti import. – UTUSAN