KUALA LUMPUR: Peneraju pakej haji dan umrah, Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia) menawarkan pakej umrah dengan harga berpatutan sebagai menggalakkan lebih ramai unat Islam mengerjakan ibadah itu.
Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris berkata, tawaran pakej pada tahun 2025 dilihat lebih dinamik mengikut kepada keperluan orang ramai.
Katanya, pakej yang ditawarkan pada tahun 2025 diletakkan pada kadar bermula serendah RM5,990.
“Bila kita lihat, ramai nak pergi ke Mekah dalam waktu singkat dan ada juga nak pergi dengan harga tidak perlukan makanan atau fasiliti yang dirasakan boleh dapat sendiri.
“Jadi tahun ini kita tawarkan harga pakej yang serupa seperti sebelum Covid-19 supaya lebih ramai dapat mengerjakan umrah,” katanya dalam sidang akhbar sempena Pelancaran platform Jelajah Impian dan Mimpi Bersama Andalusia (JIMBA) dan Pakej Umrah Andalusia 1447 Hijrah di sini semalam.
Dalam pada itu, Pengerusi Eksekutif Andalusia, Datuk Md Daud Che’ Ngah berkata, kos yang ditetapkan itu juga sebagai inisiatif mengurangkan penularan kegiatan jenayah scammer melibatkan pakej tersebut.
Katanya, pelaksanaan platform JIMBA juga bertujuan membuka peluang kepada orang ramai untuk berkunjung ke Mekah tanpa terlibat dengan sebarang penipuan kerana terlalu ramai sudah menjadi mangsa.
“Kita nak yang berlesen, berautoriti dan yakin pemergian jemaah itu terpelihara dan diberi bimbingan serta penjagaan yang mencukupi.
“Jangan bandingkan harga kerana kebanyakan orang kejar harga murah tapi tertipu. Kita bagi harga sederhana dan jemaah seronok semasa pergi dan balik,” katanya. – UTUSAN