Anak Najib dialukan pakai baju Bersih untuk sertai perhimpunan

Anak Najib dialukan pakai baju Bersih untuk sertai perhimpunan

FAISAL ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mengalu-alukan anak kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, Nooryana Najwa untuk memakai baju rasmi mereka bagi menyertai perhimpunan solidariti untuk bekas Perdana Menteri itu.

Pengerusi Bersih, Faisal Abdul Aziz berkata, pihaknya tidak akan menghalang sekiranya Nooryana Najwa mahu memakai baju rasmi mereka.

Bagaimanapun kata beliau, sebaik memakai baju Bersih, Nooryana Najwa akan turut berisiko  ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau Sosma seperti mana yang dilakukan oleh bapanya sebelum ini.

“Nak pakai Baju Bersih? Silakan, bila bicara soal hak kebebasan untuk berhimpun. Ya, ia adalah hak asasi yang harus diberikan kepada rakyat, tidak terhad kepada zaman siapa yang jadi kerajaan atau pembangkang.

“Saya gesa supaya pihak berkuasa tidak menahan beliau di bawah mana-mana undang-undang terutama di bawah Sosma seperti yang dilakukan oleh kerajaan pada 2016 ke atas bekas Pengerusi Bersih, Maria Chin Abdullah ketika penganjuran himpunan Bersih 5,” katanya menerusi ciapan di X.

Terdahulu, Nooryana Najwa menyindir kerajaan kerana menghalang peserta perhimpunan solidariti untuk berhimpun.

Beliau mempersoal tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengadakan sekatan jalan di Putrajaya sekali gus menghalang penyokong Najib untuk berhimpun di Istana Kehakiman.

“Ketika era ‘reformasi’? Kalau pakai baju Bersih (Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil) boleh lepas tak,” katanya di Instagram Story.

Hari ini, rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak kebenaran semakan kehakiman serta notis usul difailkan beliau untuk mengemukakan keterangan tambahan berkaitan Titah Adendum, didengar oleh Mahkamah Rayuan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya