KOTA TINGGI: Seorang anak maut manakala bapanya cedera selepas lori dinaiki terbabas dan terjunam ke dalam gaung setelah mengelak sebuah lori jenis lain dari arah bertentangan pagi tadi.
Kemalangan di Kilometer 61.7 Jalan Sungai Rengit – Kota Tinggi itu menyebabkan mangsa Muhammad Izzuddin Nor Zaki Afandi, 23, maut di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, pihak polis menerima maklumat kemalangan maut itu kira-kira pukul 11.30 pagi melibatkan dua buah kenderaan berhampiran kolam pancing udang harimau – kolam seluyut di sini.
“Kemalangan melibatkan lori jenis Daihatsu yang dipandu lelaki tempatan berumur 50 tahun bersama penumpang iaitu anak kandungnya, manakala pemandu Perodua Ativa dipandu lelaki tempatan berusia 39 tahun.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila lori itu dari arah Kota Tinggi menghala ke Sungai Rengit terbabas dan terjunam ke dalam gaung setelah mengelak sebuah lori jenis tidak pasti dari arah bertentangan.
“Semasa kejadian, muatan batu daripada lori jenis Daihatsu telah terpelanting mengenai Perodua Ativa. Ekoran itu penumpang jenis Daihatsu telah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya pemandu lori Daihatsu mengalami kecederaan ringan iaitu bengkak di muka dan kepala, manakala pemandu Perodua Ativa tidak mengalami kecederaan.
“Kes masih dalam siasatan polis dan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Jika disabitkan kesalahan penjara minimum 5 tahun dan maksimum 10 tahun serta denda RM20,000 hingga RM50,000 serta hilang kelayakan memegang lesen memandu selama tempoh tidak kurang 5 tahun,” katanya. – UTUSAN