PETALING JAYA: Mahu bergelar seorang pensyarah mendorong pelakon, Amerul Affendi, melanjutkan pengajian ijazah sarjana Seni Persembahan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Mac ini.
Ujar Amerul atau Mohd Amerul Affendi Mohd Mawardi, 38, sudah masanya dia berbakti kepada masyarakat dengan menjadi tenaga pengajar selepas lebih 20 tahun bergelar pelakon.
“Tahun ini saya akan melanjutkan pelajaran di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam bidang Seni Persembahan dengan Penganugerahan Kelayakan Akademik Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL Q).
“Demi mengikuti pengajian itu, syaratnya saya kena mempunyai pengalaman sekurang- kurangnya 20 tahun. Saya mahu mengajar, jadi pensyarah.
“Lakonan tetap menjadi hobi. Sudah masanya untuk saya beri balik apa yang saya peroleh kepada orang lain,” katanya.
Amerul ditemui Utusan Malaysia di majlis sidang media dan tayangan perdana filem Limbungan: Tragedi Hitam 1975, di GSC Starling Mall, baru-baru ini.
Tambahnya lagi, dengan kelayakan yang diperoleh, pelakon itu lebih yakin untuk menurunkan ilmu kepada pelakon pelapis yang memerlukan kepakarannya.
“Sambung belajar bukan sebab saya mahu bersara daripada bidang lakonan. Saya mahukan ilmu untuk kekal relevan.
“Sebelum ini, jika ada pelakon baru yang minta bimbingan saya. Saya akan sarankan mereka ke kelas lakonan.
“Namun dengan adanya kelayakan, saya lebih yakin untuk mengajar,” tambahnya.
Pelakon Terbaik Dari Langit itu juga merasakan UPSI adalah pilihan yang sesuai kerana dia tidak perlu hadir secara fizikal setiap minggu ke kelas selain boleh memantau kebun dan ladang ternakan menerusi telefon bimbit.
“Saya belajar secara sepenuh masa namun tidak perlu hadir secara fizikal ke kelas setiap minggu.
“Berkenaan kebun dan ladang juga tiada masalah kerana semuanya boleh dipantau dari jauh.
“Sekarang banyak teknologi boleh bantu saya menjaga tanaman. Semaian baja dan racun juga boleh dilakukan melalui telefon. Semuanya sudah canggih,” tambahnya.
Terdahulu, Amerul memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam bidang teater dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara). -UTUSAN