Ambil telefon mahu ‘video call’, lupa ibu sudah tiada -Scha Alyahya - Utusan Malaysia

Ambil telefon mahu ‘video call’, lupa ibu sudah tiada -Scha Alyahya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tidak mudah bagi pelakon dan model, Scha Alyahya untuk menerima pemergian ibu tersayang, Allahyarham Junainah Hasim yang menghembuskan nafas terakhir pada 7 Disember lalu.

Ujar Scha atau Sharifah Nor Azean Mahadzir, 42, kadangkala dia terlupa ibunya sudah tiada kerana sudah menjadi rutin hariannya membuat panggilan video bersama ibunya itu.

Saya akan buat panggilan video dan telefon ibu setiap hari sampai kadang-kadang dia tanya ‘ya nak apa?’. 

“Sekarang bila masuk kereta, ambil telefon mahu buat panggilan video sebab lupa dia sudah tiada. Saya tidak boleh telefon ibu lagi. 

“Ini satu ujian sangat perit tapi saya tahu ini adalah kitaran hidup. Mahu atau tidak, kita kena harungi. 

“Saya percaya ramai di luar sana pernah lalui perkara yang sama. Semoga amal ibu semasa hidup diterima Allah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.  

Dalam pada itu, pelakon Awan Dania itu juga mengambil masa sebulan untuk menenangkan diri dengan menghindari sebarang majlis sosial. 

“Sebulan juga saya ambil masa untuk ada kekuatan keluar rumah. Tapi saya fikir sudah lebih 50 hari. 

“Kawan-kawan media juga sudah ada bertanya. Jadi sudah masanya saya kembali dan teruskan hidup. Saya tidak mahu ambil terlalu lama masa untuk bangkit,” jelasnya.

Bagaimanapun, Scha akan terus mengingat kebaikan yang ditunjukkan arwah ibu yang disifatkan sebagai wanita pemurah dan tidak pernah berkata buruk tentang orang lain.

“Kebaikan ibu akan saya ingat sampai bila-bila. Dia tidak pernah mengata sesiapa dan seorang pemurah. Sifat itulah juga  yang saya didik kepada anak-anak. 

“Paling penting dalam dunia ini, kita kena ada hati yang bersih dan sentiasa berbakti kepada keluarga. 

“Arwah juga selalu ingatkan agar kami tidak lupa asal usul dan jangan menganiaya sesiapa,” tambahnya.

Terdahulu, Allahyarham Junainah Hasim disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung. 

Jenazah disolatkan di Masjid Al-Hidayah Kampung Sungai Penchala dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara 1.

Scha terpaksa membatalkan tugasnya sebagai pengacara  Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33) pada malam tersebut yang sepatutnya bergandingan dengan Datuk AC Mizal. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya