KLANG: Parti Amanah Negara (Amanah) kekal dengan prinsip wasatiyah atau kesederhanaan dengan mengutamakan politik nilai dan menepis isu sentimen atau ekstremis di negara ini.
Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pihaknya mengakui keterbelakang dalam memperjuang isu Islam dan Melayu kerana pemikiran majoriti masih tertumpu pada UMNO dan Pas.
“Sebagai contoh, parti Semangat 46 sebelum ini hanya bertahan dua Pilihan Raya Umum (PRU). Namun, kita (Amanah) yang ditubuhkan pada 2015 menjadi komponen kerajaan pada 2018 dan berkembang dengan penambahan ahli setiap bulan.
“Kita ada cara sendiri dan perlu ingat bahawa Malaysia mempunyai kepelbagaian kaum. Kita kena jaga konsep Rahmatun Lil Alamin untuk semua rakyat,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Nasional Amanah 2024 di Bandar Bestari di sini, hari ini.
Menurut Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu, sebarang kenyataan mungkin hanya dapat menyeronokkan hanya satu kaum, namun tidak perlu sehingga menyindir kaum lain.
Kata Mohamad, Amanah sedang bekerja keras menambat hati pengundi Melayu sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 kelak.
“Sokongan terhadap parti berkenaan juga dilihat semakin kuat seperti yang ditunjukkan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri dan berjaya memenangi satu kerusi Dewan Undangan Negeri di Kelantan.
“Pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri lalu, satu peti undi yang dulunya kerap dimenangi Pas berjaya kita menangi.
“Selain itu, kita merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Lama menerusi calon Amanah. Ini membuktikan bahawa pengaruh kita kini semakin kuat,” ujarnya. – UTUSAN