PUTRAJAYA: “Ketika tahajjud saya berdoa kalau kandungan dan zuriat itu milik saya, Engkau kekalkan. Namun, jika sebaliknya Engkau keluarkan.”
Demikian luahan pelawak, Along Cham ketika memaklumkan dia hanya mengetahui mengenai isterinya, Afreena Suhaimi mengalami keguguran selepas dibebaskan dari Penjara Sungai Buloh semalam.
Along atau nama sebenarnya, Muhammad Nizamudin Ahmad, 42, berkata, Afreena memberitahunya mengenai kehamilannya selepas tiga minggu menjalani tempoh tahanan Penjara Sungai Buloh.
“Saya dapat tahu pun perkara itu (isteri hamil) ketika berada di penjara. Dia beritahu saya, tapi saya serahkan sahaja benda ini (soal kandungan) kepada Allah SWT.
“Tapi, apabila dia kata dah keguguran, saya pun tidak tahu nak respons apa, tanya Allah,” katanya.
Hari ini, Along dilaporkan telah memfailkan dan membuat pengesahan lafaz cerai secara taklik terhadap Afreena di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Putrajaya.
Difahamkan, pelawak itu hadir ke mahkamah dengan ditemani ibu, Siti Habsah Kadir, 64, dan anak lelakinya, Ahmad Daniel Muhammad Nizamudin, 14.
Terdahulu, Along bertemu jodoh kali kedua dengan Afreena pada 4 April 2024 selepas lapan tahun hidup menduda apabila bercerai dengan bekas isteri pertamanya, Zila Saeron pada September 2016.
Semalam, Along sujud syukur dalam kandang tertuduh selepas Mahkamah Sesyen, Putrajaya memutuskan untuk lepas tanpa membebaskannya (DNAA) atas satu pertuduhan memiliki dadah disyaki kanabis dengan ikat jamin RM5,000.-UTUSAN