PETALING JAYA: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama mula perlahan pagi ini berikutan pertambahan jumlah kenderaan pulang ke kampung halaman sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Menerusi Paparan Kamera Litar Tertutup (CCTV) Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) pukul 11. 37 pagi ini, trafik semakin meningkat di sekitar Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) E2 menghala selatan, Lebuhraya PLUS E1 menghala utara dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak.
LLM menerusi hantaran di Facebook juga memaklumkan, beberapa laluan lorong pintar sudah diaktifkan bagi memudahkan perjalanan pulang pengguna jalan raya ke kampung halaman.
“Laluan terbabit antaranya di Lebuhraya PLUS KM 244.0 hingga KM 248.0 arah Utara dari Pedas Linggi ke Senawang dan KM 259.6 hingga KM 263.1 arah Utara dari Port Dickson ke Seremban,” katanya. – UTUSAN