KOTA BHARU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara menumpaskan kegiatan pemerdagangan manusia membabitkan 14 pendatang tanpa izin (PATI) di Kampung Paya Lada Ketereh, di sini semalam.
Komandernya, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab, Hamid berkata, tangkapan dilakukan sepasukan anggota Batalion 8 PGA pada pukul 11.45 malam selepas menyerbu sebuah rumah di kampung berkenaan berdasarkan maklumat yang diterima.
Katanya, hasil pemeriksaan menemukan lapan lelaki dan enam wanita termasuk empat kanak-kanak disyaki warganegara Myanmar dalam rumah tersebut.
“Kesemua suspek gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri atau dokumen perjalanan masuk ke Malaysia yang sah. Suspek berkenaan disyaki diseludup masuk ke Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan,”katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Nik Ros Azhan berkata, dua suspek warganegara Myanmar berusia 24 dan 27 tahun dipercayai menjadi tekong untuk menyeludup kesemua suspek masuk ke negara ini.
“Tekong lelaki itu juga didapati memiliki sebiji pil Yaba. Semua PATI ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 manakala tekong ditahan di bawah Seksyen 26J Akta ATIPSOM 2007 dan dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu untuk tindakan selanjutnya,” katanya. – UTUSAN