Akta hak milik strata ditambah baik

Akta hak milik strata ditambah baik

NIK Nazmi Nik Ahmad (tiga dari kanan) menyerahkan Mock Title kepada wakil pendududk sambil diperhatikan Menteri Besar Kelantan, Datuk  Mohd. Nassuruddin Daud (tengah) di Kota Bharu, Kelantan. - UTUSAN/ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU:  Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) sedang meminda dan menambahbaik Akta Hak Milik Strata 1985 (Akta 318) bagi menangani permasalahan rakyat yang mendiami perumahan bertingkat atau strata di negara ini.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ia melibatkan khususnya kediaman strata kos rendah dan sederhana rendah. 

Katanya, masalah berkaitan kerap menghantui pembeli skim strata adalah kelewatan dan ketiadaan dokumen hak milik strata. 

“Bagi menangani permasalahan ini,  NRES menerusi Jabatan Ketua Pengarah Tanah Dan Galian (JKPTG) memantapkan dan sentiasa berbincang dalam pelbagai sesi libat urus dengan Jabatan Perumahan Negara (JPN), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Pejabat Tanah dan Galian Negeri serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Hal ini bagi memantau dan memastikan skim-skim strata yang sedang atau akan dibangunkan dapat disediakan dokumen hak milik strata mengikut kehendak perundangan semasa,” katanya selepas Majlis Penyampaian Mock Title Skim  Desa Seri Maju Padu Enterprise di  Penambang,  di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata,  Kerajaan Persekutuan sentiasa bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam menangani kawasan berpotensi memiliki unsur nadir bumi (REE) berkaitan perlombongan haram di negara ini.

Katanya, mengikut dasar sedia ada pada masa ini, perlombongan dibolehkan, tetapi pemprosesan perlu dibuat di dalam negara.

“Kita perlu bekerjasama dengan kerajaan negeri sebab soal melibatkan perlombongan mineral ini adalah bidang kuasanya, tetapi kita akan memantau secara bersama. Kita turut mengambil tindakan apabila ada perlombongan haram dan sebagainya bagi memastikan dasar yang telah ditetapkan akan dipatuhi,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, dakwaan perlombongan haram melibatkan lebih 1.2 juta hektar kawasan atau 12,150 kilometer persegi (km2) yang berpotensi REE di seluruh negara terdedah kepada kegiatan risiko perlombongan haram kerana kaedah melombong yang mudah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya