Akibat salah faham, lelaki maut ditetak

Akibat salah faham, lelaki maut ditetak

LOKASI mangsa maut akibat ditetak di sebuah rumah kebun di Jalan Sing Ho, Merotai Besar, Tawau semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAWAU: Akibat salah faham, seorang lelaki warga emas maut akibat ditetak dalam kejadian di sebuah rumah kebun di Jalan Sing Ho, Merotai Besar, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang itu, mangsa berusia 66 tahun difahamkan ditetak di kepala dengan sebilah parang semasa berlaku pergaduhan antaranya dengan suspek.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, laporan polis diterima kira-kira pukul 2.44 petang yang menyatakan berlaku pergaduhan menggunakan parang antara dua lelaki.

Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau dan Balai Polis Bombalai menuju ke lokasi kejadian. 

“Semasa tiba di lokasi, mayat seorang lelaki dengan kesan tetakan di kepala telah ditemukan di sebuah rumah kebun. Susulan itu, polis menangkap suspek dan merampas sebilah parang dipercayai digunakan untuk menetak mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan terhadap suspek berusia 33 tahun mendapati, suspek merupakan warganegara asing yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan bekerja sebagai buruh ladang di kebun Merotai Besar.

Jelas beliau, siasatan lanjut di lokasi kejadian mendapati, mayat mangsa dengan kesan tetakan di bahagian kiri dan kanan kepala. Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tawau untuk bedah siasat.

“Kejadian dipercayai berlaku akibat salah faham antara mangsa dan suspek. Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 6 (1)(c) serta Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 untuk siasatan lanjut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya