PUTRAJAYA: Edisi kedua Ekspo dan Sidang Kemuncak Keselamatan Antarabangsa Asia (AISSE) akan dianjurkan lagi pada tahun 2027.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, edisi sulung AISSE’25 yang bermula Isnin dan berakhir hari ini berjaya menonjolkan Malaysia sebagai hab inovasi keselamatan serantau serta global.
Beliau berkata, AISSE’25 berjaya menarik kehadiran lebih 18,000 pelawat perdagangan dan pegawai kerajaan serta 1,000 delegasi persidangan yang terbabit secara langsung dalam 36 bengkel.
“Bukan sekadar bengkel perbincangan, ia juga memberi tumpuan kepada isu keselamatan domestik dan antarabangsa selain membincangkan penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI).
“AISSE’25 menyaksikan penyertaan 348 syarikat dari 48 negara sebagai pempamer,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis penutup AISSE’25 di sini hari ini.
Katanya, penganjuran AISSE’25 adalah satu kejayaan besar bukan sahaja kepada negara, malah kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Saifuddin berkata, bengkel perbincangan sepanjang AISSE’25 membincangkan pelbagai topik terutama segmen keselamatan antarabangsa serta dari perspektif domestik.
“Bagi penganjuran AISSE27, pihaknya akan memberikan yang terbaik dengan pengisian yang lebih berkualiti.
“Saya berbangga untuk mengumumkan bahawa AISSE27 kini sedang dirancang dan menjanjikan acara yang lebih besar dengan penyertaan lebih meluas serta perbincangan inovatif yang akan membawa impak yang jauh lebih hebat.
“Saya menyeru semua pihak yang berkepentingan, sektor kerajaan, entiti swasta, organisasi masyarakat sivil untuk menjadikan
permulaan ini sebagai satu momentum yang boleh menghasilkan produk AISSE yang lebih produktif,” katanya. – UTUSAN