KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas 17 pertuduhan menipu Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berkaitan kursus latihan tidak wujud, lima tahun lalu.
A. Sathia Seelan, 52, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim, Suzana Hussain.
Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-17, Sathia didakwa menipu Perkeso dengan memperdayakan dua orang pegawai pertubuhan itu untuk mempercayai bahawa dokumen yang mengandungi senarai nama kehadiran dan tandatangan peserta bagi tiga jenis kursus latihan atas nama sembilan syarikat adalah tulen.
Dokumen itu adalah bagi tiga jenis kursus latihan tidak wujud bertarikh antara 7 Disember 2020 dan 12 Jun 2021.
Perbuatan itu mendorong Perkeso membuat pembayaran berjumlah RM832,000 kepada syarikat Global Education Network Sdn. Bhd. milik tertuduh yang mana pertubuhan berkenaan tidak akan berbuat demikian sekiranya tidak diperdaya.
Perbuatan itu didakwa dilakukan antara 23 Disember 2020 dan 23 Januari 2021, di Bahagian Perkhidmatan Pekerjaan, Menara Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan, Perkeso di Putrajaya.
Kesemua pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun serta sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Siti Amirah Muhammad Ali mencadangkan jaminan sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin warganegara tempatan serta mengambil kira kesalahan itu membabitkan wang lebih RM800,000.
Sementara itu, di Mahkamah Sesyen berlainan, seorang penganggur, R. Nanthagopal, 43, mengaku tidak bersalah atas 17 pertuduhan bersubahat dengan Sathia melakukan perbuatan yang sama.
Hakim, Rosli Ahmad merekodkan pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan terhadap tertuduh.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dengan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.
Siti Amirah turut mencadangkan jaminan RM100,000 ke atas Nanthagopal berserta syarat tambahan yang sama dengan Sathia Seelan.
Babu Naidu juga memohon jaminan yang sama dengan alasan anak guamnya merupakan penanggung utama keluarga dan menghidap penyakit darah tinggi serta jantung.
Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM60,000 dikenakan terhadap kedua-dua tertuduh dengan seorang penjamin warganegara tempatan berserta syarat tambahan yang dimohon oleh pihak pendakwaan. – UTUSAN