KOTA BHARU: Pas tidak mewajibkan tetapi menggalakkan ahli-ahlinya turut serta dalam himpunan ‘Solidariti Bersama Najib Razak Menuntut Keadilan’ di Istana Kehakiman, Putrajaya Isnin ini.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, isu yang diperjuangkan melibatkan kepentingan rakyat dan ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.
“Isu ini adalah isu rakyat dan semua rakyat boleh terlibat. Itu pendirian Pas,” katanya selepas Majlis Amanat Tahun Baharu dan Himpunan Penjawat Awam Negeri Kelantan 2025 di Kompleks Kota Darul Naim, di sini hari ini.
Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, memandangkan ia adalah isu rakyat, tiada mana-mana pihak berhak menyekat sesiapapun untuk bersama-sama dalam himpunan solidariti tersebut atau mengambil berat perkara berkenaan. – UTUSAN