Ahli koperasi mahu SPRM siasat transaksi tanah di Seri Iskandar - Utusan Malaysia

Ahli koperasi mahu SPRM siasat transaksi tanah di Seri Iskandar

AHLI KPST yang hadir semasa laporan dibuat kepada SPRM di Ipoh hari ini berhubung pemilikan tanah di Seri Iskandar. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Koperasi Pembangunan Sungai Tumboh (KPST) membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini berhubung pemilikan tanah di Seri Iskandar.

Aduan dibuat oleh koperasi tersebut yang dianggotai ratusan pekebun kecil yang mengusahakan tanaman sawit di tanah itu sejak lebih sedekad lalu sebelum terhenti beberapa bulan lepas.

Pengerusi KPST, Zainudin Norhan mendakwa, koperasi telah dibayar pampasan RM4 juta namun mendakwa tiada persetujuan daripada sebilangan ahli dan pekebun kecil terhadap transaksi berkenaan.

Dakwanya, para pekebun kecil tidak berpuas hati terhadap perkara tersebut selain gagal mendapat bukti jelas berhubung persetujuan untuk menghentikan aktiviti penanaman dan menerima pampasan.

“Sampai ke hari ini tiada bukti. Itu yang menggugat kepercayaan kami,” dakwanya ketika bercakap kepada pemberita di pekarangan pejabat SPRM Perak di sini hari ini.

Lebih 200 pekebun kecil sawit dan anggota koperasi itu turut hadir sewaktu laporan kepada SPRM dibuat selain diiringi oleh NGO Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad sebelum ini menyatakan tanah tersebut adalah sebahagian daripada tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) yang dicadangkan untuk pembinaan lapangan terbang, tetapi telah dijual kepada syarikat pelabur pada September 2018.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri dimaklumkan wujud kemelut dalaman di dalam KPST sehingga menyebabkan sebahagian daripada ahli-ahlinya mendakwa persetujuan yang telah dicapai bersama pemilik tanah sebelum ini sudah tidak sah.

Menurut Zainudin, kebanyakan pekebun kecil terdiri daripada golongan miskin, tiada pekerjaan tetap selain terdiri daripada warga emas.

“Kami bukan orang kaya. Jangan dianaktirikan. Memang betul, mereka mempunyai hasil yang baik boleh mencecah pendapatan RM3,000 sebulan. Selainnya hendak dapat RM1,000 pun susah,” katanya.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, NGO tersebut terpanggil untuk membantu KPST memandangkan perkara itu melibatkan pendapatan golongan berpendapatan rendah selain mahu merungkai permasalahan yang berlaku. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya