CYBERJAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim telah memperkenan pindaan beberapa akta bertujuan menangani isu ancaman buli siber sekali gus memperkasa keselamatan dalam talian.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, Sultan Ibrahim memperkenan pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia, akta berkait Kanun Keseksaan dan Akta Keselamatan Dalam Talian.
“Sebaik ia diwartakan, akta berkenaan akan digunakan bagi menangani isu pedofilia dalam talian, jenayah seksual terhadap kanak-kanak, buli siber dan juga scam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Chatbot Sebenarnya.my atau dikenali sebagai Chatbot AIFA iaitu Artificial Intelligence Fact-check Assistant di sini hari ini,
Pada awal Disember lalu, Sidang Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024.
Fahmi ketika menggulung perbahasan RUU itu berkata, Seksyen 233 di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) tidak dimansuhkan untuk mengelak penyalahgunaan rangkaian oleh mana-mana pihak bagi tujuan komersial khususnya penjualan pornografi dan pedofilia.
Dewan Rakyat turut meluluskan RUU Keselamatan Dalam Talian 2024 pada 11 Dis lepas bertujuan meningkatkan dan menggalakkan keselamatan dalam talian di Malaysia.
Pada sidang media sama, Fahmi berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang meneliti dokumen yang dihantar
penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial bagi memperoleh lesen beroperasi di negara ini.
“Setakat semalam, Meta Platforms Inc (Meta) telah menghantar sejumlah dokumen. Kita sedang memproses perkara itu dan ia dijangka tidak terlalu lama untuk dilesenkan.
“Bagi penyedia platform lain seperti Google dan Microsoft yang menguruskan LinkedIn dan juga X, MCMC sedang susuli perkara itu kerana masing-masing mempunyai pandangan,” katanya.
Katanya, tindakan perlu diambil supaya aspek pelesenan terhadap penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial tidak akan tertangguh terlalu lama.
Jelasnya lagi, beliau berpandangan bahawa kerajaan perlu ambil tindakan segera dan tidak menangguh terlalu lama.
Sebelum ini, Tencent (WeChat) menjadi penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial pertama menerima Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Penyedia (ASP (C)) untuk beroperasi di Malaysia diikuti ByteDance (TikTok) dan Telegram. – UTUSAN