Agihan fasa pertama BAP sebanyak RM723 juta selesai - Utusan Malaysia

Agihan fasa pertama BAP sebanyak RM723 juta selesai

WONG Kah Woh menyampaikan Bantuan Awal Persekolahan kepada pelajar di SJKC Wan Hwa 1 di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Pemberian Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 kepada setiap pelajar di seluruh negara telah selesai bagi fasa pertama melibatkan peruntukan sebanyak RM723 juta.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, bantuan secara one-off itu selesai disalurkan di semua sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Jumaat lalu membabitkan lebih 4.8 juta pelajar.

“Peruntukan BAP yang diluluskan pada tahun ini adalah sebanyak RM791 juta dan pemberian untuk fasa pertama ini adalah sebanyak RM723 juta untuk disalurkan ke sekolah-sekolah.

“Penyaluran bantuan kepada murid Tahun Satu hingga pelajar Tingkatan Empat bagi sesi 2024/2025 bermula hari ini manakala murid Tahun Satu dan pelajar Tingkatan Enam bagi sesi 2025/2026 pula akan dilaksanakan mulai 16 Februari depan.

“Bagi murid Tingkatan Enam baharu pula akan diagihkan bermula 1 Julai depan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolah peringkat negeri 2025 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Wan Hwa 1, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Pendidikan negeri, Safuan Raba’ai.

Menurut Kah Woh, pemberian BAP itu diberikan kepada semua pelajar warganegara tanpa mengira latar belakang dengan memperluas pemberian kepada pelajar Tingkatan Enam mulai tahun ini.

Katanya, lebih 100,000 pelajar Tingkatan Enam akan menerima manfaat daripada bantuan tersebut yang melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM15 juta.

“Agihan BAP ini dilaksanakan melalui tiga cara iaitu serahan tunai kepada ibu bapa atau pengkreditan ke akaun bank pelajar atau akaun bank ibu bapa.

“Terserah kepada pihak sekolah atau ibu bapa untuk memilih kaedah agihan tersebut. Apa yang penting kita mahu pastikan tiada sebarang ketirisan atau pemotongan BAP yang diterima pelajar,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, seramai 354,540 pelajar di negeri ini akan menerima Bantuan Awal Persekolahan (BAP) melibatkan peruntukan sebanyak RM53.9 juta.

“Pemberian bantuan itu melibatkan pelajar dari 1,101 buah sekolah rendah dan menengah di seluruh Perak,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya