AGC perkenal sistem e-Daftar, e-Rep mudahkan pengurusan kes jenayah

AGC perkenal sistem e-Daftar, e-Rep mudahkan pengurusan kes jenayah

MOHD. DUSUKI MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Peguam Negara (AGC) memperkenalkan dua sistem dalam talian iaitu Modul Daftar Kertas Siasatan (e-Daftar) dan Modul e-Representasi (e-Rep) bagi memudahkan pengurusan kes jenayah di negara ini.

Peguam Negara, Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar berkata, sistem berkenaan bukan sahaja memberi impak signifikan terhadap keberkesanan pengurusan kes malah turut menyumbang kepada usaha kerajaan dalam mencapai pembangunan mampan menerusi pengurangan penggunaan kertas sekali gus menyokong inisiatif penjagaan alam sekitar.

Katanya, sistem e-Daftar membolehkan agensi penguatkuasa mendaftar kertas siasatan jenayah secara dalam talian sekali gus menjimatkan masa dan sumber malah sehingga awal Disember 2024, sistem berkenaan merekodkan lebih daripada 455,000 kertas siasatan dan kini digunakan di 10 negeri oleh 161 agensi dan 391 Timbalan Pendakwa Raya.

“Modul e-Rep akan menggantikan proses manual dalam pengurusan representasi yang dihantar oleh peguam dan menerusi sistem ini, peguam akan diberitahu secara automatik melalui emel dan status representasi boleh disemak secara dalam talian. Kami merancang memperluas sistem berkenaan ke seluruh negara sebelum akhir tahun ini,” katanya sewaktu berucap pada Pembukaan Tahun Perundangan 2025, di sini, hari ini.

Mohd. Dusuki berkata, AGC turut mewujudkan sistem Laporan Keputusan Kes (LKK i-AGC) yang membolehkan laporan mengenai keputusan mahkamah rendah dihantar ke bahagian rayuan dan perbicaraan untuk tindakan lanjut.

Sistem berkenaan boleh diakses dari mana-mana peranti dan lokasi bagi memastikan kecekapan dalam pengurusan kes di peringkat tertinggi.

“Ini adalah sebahagian daripada usaha kami memodenkan operasi harian AGC dengan kemajuan digital yang lebih cekap dan berkesan,” katanya.

Majlis terulung anjuran Badan Kehakiman Malaysia itu dihadiri oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat; Presiden Majlis Peguam Malaysia, Mohamad Ezri Abdul Wahab dan jemputan lain yang terdiri daripada hakim, pegawai serta pengamal undang-undang.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya