PUTRAJAYA: Jabatan Peguam negara masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung Titah Adendum membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Peguam Negara (AGC), Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, ketika diminta mengulas mengenai perkara itu, hanya memberikan respon ringkas, ‘tiada komen ‘ ketika ingkas ketika ditemui pada Majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2025 yang disempurnakan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat hari ini.
Media melaporkan, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Najib untuk memulakan semakan kehakiman bagi memohon Menteri Dalam Negeri dan kerajaan menguatkuasakan titah tambahan itu.
Najib bergantung kepada afidavit anaknya, Datuk Mohamad Nizar Najib serta surat dari istana Pahang yang mengesahkan kewujudan titah tersebut.
Titah tambahan itu adalah tambahan kepada titah utama yang mengurangkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kepada hukuman penjara enam tahun dan denda RM50 juta.
Najib disabitkan bersalah dalam pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram melibatkan RM42 juta dana SRC International, bekas anak syarikat 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).
Dalam keputusan majoriti 2-1 pada Isnin lalu, Hakim Datuk Seri Firuz Jaffril menyatakan bahawa Najib menulis kepada enam daripada tujuh responden yang dinamakan dalam rayuan bagi mengesahkan kewujudan adendum tersebut, namun tidak menerima sebarang jawapan daripada mereka.
Enam responden itu ialah menteri dalam negeri, komisioner jeneral penjara, peguam negara, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, menteri di Jabatan Perdana Menteri (undang-undang dan reformasi institusi), dan ketua pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri.-UTUSAN