PUTRAJAYA: Perkhidmatan Penggerak Penumpang Automasi (Aerotrain) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dijangka tidak dapat memenuhi tarikh untuk beroperasi semula pada 31 Januari ini berikutan tempoh ujian pemeriksaan masih lagi berlangsung.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada isu kelewatan tersebut antaranya ujian sistem penuh yang perlu dijalankan pihak kontraktor.
Jelasnya, fasa tambahan termasuk ujian sistem secara menyeluruh dan integrasi harus dilakukan sebelum aerotrain ini boleh diserahkan kepada pihak berkuasa yang berkaitan bagi ujian akhir.
“Kontraktor masih menjalankan ujian dan belum memberikan garis masa yang tetap.
“Walaupun pada mulanya mereka menyatakan proses ini boleh disiapkan menjelang 31 Januari (namun) mereka belum memberikan tarikh atau menyatakannya secara spesifik,” katanya dalam sidang akhbar mengenai prestasi trafik penumpang dan kargo Malaysia bagi tahun 2024 serta unjuran bagi tahun 2025 di Kementerian Pengangkutan hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung tarikh sebenar aerotrain akan memulakan semula operasinya di KLIA.
Pada 2 September lalu, media melaporkan aerotrain di KLIA dijangka beroperasi semula menjelang 31 Januari 2025.
Mengulas lanjut, beliau turut menyatakan ketidakpuasan hatinya berhubung isu aerotrain, sekali gus menyeru Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) untuk turut sama mengambil tanggungjawab.
Sehubungan itu, Loke mahu pengendali lapangan terbang itu untuk memainkan peranan lebih besar dalam membangunkan kapasiti mereka dan tidak hanya bergantung kepada dasar kerajaan. – UTUSAN