KUALA LUMPUR: Pelakon, Adriana Adnan sanggup menghabiskan lapan minggu di Indonesia demi menimba ilmu dengan guru yang juga pelakon, Indra Pacique.
Kata Adriana, pengorbanan itu berbaloi kerana banyak ilmu dan formula lakonan yang ditimbanya daripada pelakon hebat Indonesia itu.
“Saya memang berminat untuk belajar asas lakonan. Kebetulan dua tahun lepas, seorang rakan saya di Indonesia mencadangkan saya sertai Projek Selasa (prosa) di sana.
“Prosa adalah antara sekolah seni yang mendapat sokongan pelakon-pelakon terkenal seperti Redza Rahadian, Puteri Ayudya dan ramai lagi.
“Tambah pula ia dikendalikan guru lakonan, Indra Pacique. Kerana itu saya teringin untuk menuntut ilmu di sana,” katanya yang ditemui pada malam gala filem Empat, baru-baru ini.
Bukan menidakkan kepakaran bidang lakonan di Malaysia, kata Adriana, tujuan dia mempelajari asas lakonan sampai ke Indonesia adalah untuk merasai pengalaman baru di sana.
“Walaupun ada banyak kelompok seni di Indonesia, mereka tetap saling menyokong satu sama lain. Menariknya, mereka sanggup berkorban masa asalkan dapat kepuasan dan keseronokan daripada program dianjurkan.
“Di Malaysia, kita ada pengajian lakonan formal yang diajar di universiti contoh di UiTM dan Aswara. Tapi saya belum jumpa program pengajian lakonan secara santai yang ada kelas, ujian dan sebagainya.
“Sebab itu saya ke Indonesia. Satu hari nanti, bila sudah mahir, saya sudi kongsikan formula yang saya pelajari di sana dengan kawan-kawan pelakon di Malaysia,” katanya.