KUALA TERENGGANU : Seorang lelaki ditahan kerana disyaki mencuri barang kemas bernilai RM237,000 milik seorang pensyarah perubatan sebuah institusi pengajian tinggi di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, suspek berusia 31 tahun itu ditahan di Jalan Sultan Omar, di sini kira-kira pukul 3 pagi semalam.
Katanya, suspek yang bekerja sebagai peniaga minyak wangi adalah adik angkat kepada suami pensyarah tersebut dan sering bermalam di rumah mangsa.
“Kehilangan barang kemas tersebut dipercayai berlaku sejak November tahun lalu, tetapi mangsa hanya menyedarinya pada 17 Januari lalu. Susulan itu mangsa yang berusia 49 tahun membuat laporan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu Sabtu lalu,” katanya semalam.
Menurut Azli, hasil siasatan mendapati suspek mengaku mengambil dan menjual barang kemas tersebut di sebuah kedai emas di Kuala Terengganu. – UTUSAN