PUTRAJAYA: Salah seorang hakim dalam panel yang mendengar rayuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung titah adendum berhubung penahanan dalam rumah bagi baki hukuman penjaranya menyuarakan `rasa terganggunya’.
Menurut Hakim Datuk Seri Mohd. Firuz Jaffril, sehingga hari ini, pihak Jabatan peguam Negara (AGC) dan responden lain yang dinyatakan dalam rayuan itu masih tidak menyatakan cabaran mereka berhubung titah tambahan itu.
“Pada prosiding terdahulu, awak (Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan) antara lain menyatakan akan mendapatkan pengesahan sama ada titah adendum ini memang datangnya dari Istana. Hari ini apa yang saya nampak ialah kenyataan media daripada Istana tetapi tiada sebarang cabaran dari AGC atau pihak lain.
“Saya rasa terganggu (dengan keadaan ini). Terganggu kerana sekiranya tiada sebarang cabaran, maknanya awak mengakui kewujudan titah ini,” ujar Hakim Mohd. Firuz.
Terdahulu, peguam, Tan Sri Muhammad Shafee membacakan titah adendum yang telah dihantar ke bekas Peguam Negara, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh (kini Hakim Mahkamah Persekutuan).
Isi surat itu antaranya menyebut:
“Mudah-mudahan barang diwasalkan oleh Tuhan Seru Sekalian Alam ke Majlis Yang Berbahagia Datuk Ahmad Terrirudin bin Mohd Salleh, Peguam Negara Malaysia yang berada pada masa ini di Pejabat Peguam Negara, Putrajaya dengan beberapa selamat dan sejahteranya.
“Wabadah Ehwal, Beta dengan ini menitahkan sebagai tambahan kepada keputusan Beta berhubung Banduan, Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak pada Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah- Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan dan Putrajaya kali ke-61 pada hari Isnin, 29 Januari 2024 bersamaan 17 Rejab 1445 Hijrah supaya Banduan, Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak (530723-06-5165) menjalani baki hukuman menerusi penahanan dalam rumah (House Arrest).”
Pada 1 April 2024, Najib memfailkan semakan kehakiman antara lain mendakwa selain perintah pengurangan hukuman penjara dan pengurangan jumlah denda, terdapat perintah tambahan yang membenarkan beliau untuk menjalani hukuman yang dikurangkan kepada ‘tahanan di rumah’ dan bukannya di Penjara Kajang.
Menurut afidavit difailkan, bekas Perdana Menteri itu mendakwa menerima ‘maklumat yang sahih’ berhubung titah adendum pada 12 Februari lalu.
Menurut permohonan semakannya, selain AGC, Najib turut menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Lembaga Pengampunan Bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi) sebagai responden pertama hingga kelima.
Turut dinamakan ialah Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia sebagai responden keenam dan ketujuh. – UTUSAN