PETALING JAYA: Keputusan Mahkamah Rayuan membabitkan isu tahanan rumah Datuk Seri Najib Tun Razak membuktikan terdapat pihak bertindak menyembunyikan Titah Adendum.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, tindakan menyembunyikan Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 itu mengkhianati prinsip berterus-terang yang sepatutnya dijunjung oleh kerajaan.
Beliau membidas Perdana Menteri berhubung Titah Adendum kerana mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim berpura-pura tidak mengetahui mengenai dokumen tersebut.
“Adalah tidak mungkin seorang Perdana Menteri tidak mengetahui kewujudan titah tambahan Agong dan Perdana Menteri bertanggungjawab sepenuhnya bagi melaksanakan mana-mana titah Agong termasuklah Titah Adendum.
“Sebagai Perdana Menteri, beliau terikat dengan ikrar sumpah taat setia kepada Agong serta Perlembagaan Persekutuan dan sebarang keingkaran, menyembunyi atau menafikan titah Agong merupakan penderhakaan besar kepada Raja dan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Mahkamah Rayuan memberikan kebenaran kepada Najib yang merupakan bekas Presiden UMNO untuk mencabar perintah penahanan di rumah bagi baki hukuman penjara yang dihadapinya.
Dalam keputusan 2-1, Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd. Firuz Jaffril menyokong keputusan itu, manakala Hakim Datuk Azizah Nawawi yang mengetuai panel tiga hakim prosiding hari ini menentang penghakiman terbabit.
Menurut keputusan majoriti yang dibacakan oleh Hakim Mohd. Firuz, Najib telah memenuhi prinsip untuk memasukkan bukti baharu pada ketika ini.
Tambahan, tiada sebarang bukti untuk mencabar kewujudan atau kesahihan titah adendum itu dikemukakan oleh mana-mana responden.
Keputusan majoriti itu juga membenarkan kebenaran kepada Najib untuk mencabar perintah itu dan kes dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk didengar di hadapan hakim lain.
Pada 3 Julai lalu, Hakim Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib untuk mencabar perintah berhubung adendum itu atas alasan kesemua afidavit yang menyokong permohonan semakan itu adalah `dengar-cakap’. – UTUSAN