KEMAMAN: Lelaki orang kurang upaya (OKU) mental yang cedera dibelasah beberapa individu di Pasar Tani Padang Astaka Chukai, Jumaat lalu mendakwa ada individu yang menyepak motosikalnya menyebabkannya melanggar gerai makanan di situ.
Kejadian itu diceritakan lelaki berkenaan, Ahmad Al Faizan Jusoh, 47, kepada anaknya, Nurul Farhana selepas kejadian tersebut.
Nurul Farhana, 21, berkata, selepas pelanggaran itu, bapanya bangun dan mencari individu yang dipercayai menyepak motosikalnya, namun dia kemudian disepak dan dipukul beramai-ramai.
“Saya tanya abah, kenapa jadi begini. Abah beritahu, abah tak sengaja pun langgar kedai (gerai) tu. Ada orang sepak abah dari belakang.
“Abah cuma nak cari siapa sepak abah (hingga menyebabkan pelanggaran), tapi orang ramai kemudian pukul abah,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.
Nurul Farhana berkata, dia sangat sedih melihat bapanya dipukul, ditendang dan diseret di tengah-tengah pasar tersebut.
“Saya tak tahu nak cakap macam mana. Kenapa mereka terlalu kejam dan tergamak buat abah saya begitu. Besar sangat ke salah abah, sampai abah dilayan begitu teruk.
“Mungkin mulut abah lantang, namun bukan dia minta jadi begitu. Dia tidak sihat. Walaupun dia begitu, abah tak pernah pukul saya dan adik beradik,” katanya.
Anak kedua daripada lima adik beradik itu berkata, dia sangat berharap bapanya mendapat keadilan dan pelaku menerima hukuman yang setimpal.
“Kami nak orang yang pukul dan tendang abah menerima hukuman setimpal dan rasa bagaimana sakitnya apa yang abah kami rasa bila diperlakukan begitu,” katanya.
Menurutnya, bapanya yang kini sedang dirawat di Wad Psikiatri Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu mengalami luka di beberapa anggota badan termasuk kepala. – UTUSAN