Ada kemungkinan Muhammad Zaharif dilenyek - MIROS - Utusan Malaysia

Ada kemungkinan Muhammad Zaharif dilenyek – MIROS

MOHD. Nazri Abdul Razak semasa perbicaraan kes bunuh yang dihadapinya di Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa pelajar tingkatan lima, Muhammad Zaharif Affendi Muhd. Zamrie, 17, berkemungkinan telah dilenyek oleh kereta jenis Perodua Ativa dipandu pegawai kanan polis selepas berlakunya pelanggaran.

Saksi pendakwaan ke-31, Ahmad Noor Syukri Zainal Abidin, 42, dari Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) berkata, dapatan itu dibuat berdasarkan lokasi Muhammad Zaharif terjatuh di bahagian tengah hadapan Perodua Ativa.

Menurut Ahmad Noor Syukri yang bertugas sebagai Penganalisa Kemalangan Prinsipal dan Ketua Unit Pengoperasian dan Pengurusan Data Kemalangan MIROS, motosikal ditunggang mangsa yang berada dalam keadaan terbaring telah terbabas ke arah kanan iaitu arah seberang jalan.

“Perlanggaran pertama di antara Perodua Ativa dan motosikal berlaku di luar lingkungan dashcam namun rakaman itu menunjukkan pergerakan sesaran menegak oleh kereta berkenaan sejurus perlanggaran berlaku.

“Berdasarkan lokasi penunggang motosikal jatuh di bahagian tengah hadapan kereta iaitu laluan pergerakan kenderaan tersebut, berkemungkinan Perodua Ativa telah melenyek penunggang motosikal yang jatuh,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz.

Menurut beliau, penyiasatan di kawasan kemalangan telah menemui kesan minyak di bahagian seberang dari titik perlanggaran yang mana ia konsisten dengan lokasi kedudukan akhir motosikal seperti dalam rakaman video dashcam.

Katanya, rujukan juga telah dibuat berdasarkan rakaman dashcam serta rajah kasar polis bagi mengenal pasti lokasi-lokasi lain seperti lokasi serpihan kenderaan yang menunjukkan lokasi perlanggaran pertama dan kedudukan akhir mangsa.

“Penyiasatan di kawasan kemalangan juga tidak menemui sebarang kesan brek daripada dua buah kenderaan yang membuktikan bahawa tiada tindakan membrek yang drastik dilakukan oleh pemandu dan penunggang sebelum perlanggaran pertama berlaku,” katanya.

Tambah Ahmad Noor Syukri, daripada pengumpulan data dan analisa yang dijalankan MIROS, perlanggaran pertama dalam bentuk ‘rear end collision’ berlaku dalam keadaan kereta Perodua Ativa itu mengekori motosikal ditunggang Muhammad Zaharif Affendi dengan sangat rapat tanpa jarak selamat.

Katanya, impak perlanggaran pertama berlaku apabila bahagian hadapan kanan Perodua Ativa mengenai bahagian belakang motosikal menyebabkan motosikal jatuh ke sebelah kiri.

“Motosikal telah terperosok ke bahagian bawah hadapan kanan Perodua Ativa dan seterusnya terseret ke seberang kanan jalan.

“Kelajuan purata pada jarak lebih kurang 50 meter sebelum point of impact (perlanggaran pertama) bagi Perodua Ativa adalah 89.76 kilometer/sejam (km/j) manakala motosikal adalah 94.92 km/j,” katanya.

Sementara itu, ketika diminta menjelaskan keadaan yang membolehkan perlanggaran pertama antara Perodua Ativa dan motosikal berada dalam keadaan tegak berlaku, Ahmad Noor Syukri memberitahu, analisis situasi yang tepat adalah kereta itu terus bergerak dalam kelajuan yang konsisten manakala motosikal memperlahankan kenderaan ketika menghampiri point of impact.

Perkara itu dimaklumkan kepada mahkamah selepas beliau membaca laporan Event Data Recorder (EDR) yang disediakan pihak Perodua sebelum ini.

Dalam pada itu, peguam bela, M. Athimulan mengemukakan bantahan laporan yang dibuat pasukan penyiasat Miros di bawah Seksyen 399 Kanun Acara Jenayah dengan menyatakan bahawa keterangan saksi adalah berdasarkan pandangan pakar dan bukannya fakta.

Afzainizam kemudiannya menjelaskan bahawa laporan tersebut dikemukakan di bawah Seksyen 45 Akta Keterangan.

Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet membenarkan laporan itu ditanda sebagai ekshibit dan meminta kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan untuk mengemukakan hujahan masing-masing berhubung laporan itu pada akhir kes pendakwaan.

Mengikut pertuduhan, Deputi Superintenden Mohd. Nazri Abdul Razak didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Muhammad Zaharif Affendi.

Mohd. Nazri, 46, yang sebelum ini bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah didakwa melakukan perbuatan itu di persimpangan Jalan Taman Jati 1/Jalan Pekeliling Meru Indah berhampiran SMK Jati di dalam daerah Kinta antara pukul 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari, 15 Disember 2023.

Perbicaraan bersambung esok. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya