KUALA LUMPUR: Penyanyi, Atilia Haron, memaklumkan tidak pernah menutup hatinya untuk kembali bergelar isteri meskipun dua kali berdepan kegagalan rumah tangga sebelum ini.
Namun, penyanyi berusia 50 tahun itu belum memikirkan sebarang perancangan untuk mengahwini teman lelakinya yang juga penerbit serta pengarah, Shimy Latif.
“Saya pernah dua kali berkahwin. Namun kalau ditanya sama ada saya akan berkahwin lagi, saya tidak ada jawapannya. Jodoh ketentuan Tuhan, saya ikut sahaja perancanganNya.
“Kami pernah bercakap mengenainya (perkahwinan) namun belum merancang ke arah itu.
“Jadi buat masa ini saya tak ada jawapan mengenai perkahwinan sebab belum memikirkannya lagi,” katanya ketika ditemui pada konsert ambang tahun baru Suria FM x The Curve baru-baru ini.
Atilia sebelum ini mengesahkan sudah menjalinkan hubungan istimewa dengan shimy sejak dua tahun lalu.
Terdahulu, pemilik nama sebenar Raja Putri Atilia Raja Haron itu pernah berkahwin dengan Ariff Johan Abdul Aziz pada Disember 1998 namun bercerai pada Januari 2009.
Selepas enam tahun, penyanyi lagu Cinta Sampai Mati itu bergelar isteri kepada jurutera bunyi pada Ogos 2014 namun bercerai empat tahun lalu.
Kini Atilia memaklumkan dia selesa dan gembira dengan kehidupan sekarang meskipun belum memiliki zuriat.
“Ada orang simpati sebab saya sudah berusia 50 tahun namun tiada zuriat. Mungkin tak tahu saya sebenarnya gembira dengan hidup saya sekarang.
“Kalau dulu mungkinlah saya mengharapkan cahaya mata, tapi sekarang tidak lagi.
“Banyak lagi perkara yang menggembirakan saya seperti meluangkan masa bersama ibu saya, Salamiah Hassan yang juga sekarang ini hidup solo,” kongsinya.