JOHOR BAHRU: Yang DiPertua Jumaah Majlis DiRaja Johor, Datuk Dr. Abdul Rahim Ramli dan Ahli Majlis Penasihat Kebudayaan kepada Kerajaan Malaysia (MAKEN), Datuk Dr. Lim Swee Tin dilantik sebagai Karyawan Tamu Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd. Shafry Mohd. Rahim berkata, pelantikan itu merupakan komitmen UTM untuk memperkukuh kedudukan sebagai pusat kecemerlangan akademik dan penyelidikan terkemuka dunia dalam bidang sains dan teknologi serta memelihara warisan sejarah dan budaya negara.
“Pelantikan dua tokoh ini sebagai Karyawan Tamu UTM adalah satu penghargaan yang besar kepada UTM. Dengan latar belakang dan pengalaman mereka yang luar biasa, kami percaya kehadiran mereka akan memberikan dimensi baharu dalam penerbitan ilmiah yang berkualiti tinggi di UTM.
“Kami juga berharap pelantikan ini dapat membuka lebih banyak peluang untuk kerjasama strategik bukan sahaja dalam bidang penerbitan malah dalam bidang penyelidikan dan inovasi antara universiti, industri, komuniti dan masyarakat,” katanya kepada pemberita.
Abdul Rahim merupakan seorang tokoh yang berpengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan negeri Johor dan memiliki kepakaran mendalam dalam sejarah, protokol Johor dan protokol Istana Johor.
Beliau banyak menyumbang dalam menguruskan institusi Diraja Johor selama lebih lima dekad dan terlibat secara langsung dalam pelbagai acara diraja, termasuk keputeraan Raja, pemasyhuran Sultan, dan perkahwinan diraja.
Swee Tin yang merupakan penerima S.E.A Write Award 2000, merupakan, pengarang dan penyair yang sudah lama berkecimpung dalam dunia kreatif khususnya kesusasteraan Melayu.
Beliau dikenali sebagai seorang tokoh yang berpengalaman luas dalam penulisan kreatif, khususnya puisi dan telah menghasilkan pelbagai karya yang diiktiraf di peringkat kebangsaan dan antarabangsa sepanjang kariernya.
Mohd. Shafry berkata, UTM percaya dengan pelantikan Abdul Rahim dan Swee Tin sebagai Karyawan Tamu UTM pastinya akan memberi sumbangan yang besar dalam memelihara dan memperkasa budaya, seni, sastera dan sejarah negara khususnya yang melibatkan negeri Johor.
“UTM percaya memelihara sejarah dan budaya negara adalah tanggungjawab semua pihak. la selari dengan hasrat UTM untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang sains dan teknologi malah berpemikiran kreatif untuk bersaing dalam pasaran pekerjaan yang mencabar seiring dengan perkembangan kecerdasan buatan (Al).
“Diharap melalui penyertaan kedua-dua tokoh ini dalam bidang akademik bakal membuka ruang untuk mengembangkan kajian-kajian berkaitan warisan seni budaya dan sejarah negara yang lebih mendalam dan komprehensif,” ujarnya. – UTUSAN