POKOK SENA: Empat beradik termasuk sepasang kembar perempuan yang yatim piatu sekelip mata selepas ibu bapa mereka maut dalam kemalangan ngeri di Alor Pudak, Pendang, Khamis lepas, memilih untuk menetap di rumah bapa saudara di Kampung Tanjung Musang dekat sini.
Muhammad Azrul Hafizi, 15, berkata, dia nekad memikul tanggungjawab menjaga adik kembar mereka demi melunaskan permintaan ibu bapa sebelum ini.
“Pada hari kejadian, mama ada pesan untuk menjaga adik elok-elok. Saya akan ambil ambil tanggungjawab itu dan akan jaga adik dengan baik. Kami tidak akan berpisah,” katanya ketika ditemui.
Dalam kejadian pada 26 Disember lepas, Mazlan Abu Hassan 52, dan Noriza Saad, 34, maut bersama seorang lagi remaja berusia 14 dalam kemalangan pada pukul 11.20 malam itu yang melibatkan tiga kenderaan.
Pasangan itu meninggalkan Muhammad Azrul bersama tiga lagi adiknya iaitu, Aina Damia, 14, dan kembar, Nur Qaseh Melissa Mazlan dan Nur Chinta Melissa, dua tahun.
Muhammad Azrul dan Aina Damia merupakan anak hasil perkahwinan pertama Allahyarham Noriza, sementara kembar, adalah cahaya mata Noriza bersama Mazlan.
Aina Damia berkata, biarpun rumah bapa saudaranya itu berdekatan dengan rumah mereka, tetapi tidak sanggup tinggal di situ lantaran kediaman berkenaan menyimpan banyak memori indah mereka sekeluarga.
“Tidak sanggup balik rumah sebab sedih bila teringat ayah dan mama, jadi biarlah kami di sini, lebih-lebih lagi bapa dan mak saudara sanggup menjaga kami,” katanya.
Sementara itu, ibu saudara, Zuraina Abu, 53, berkata, dia dan suami, Kasuadinata Saad, 45, yang bekerja sebagai tukang paip, berusaha menjaga empat beradik itu seperti anak mereka sendiri.
“Memang ada yang bertanya untuk mengambil kembar ini sebagai anak angkat tetapi Muhammad Azrul dan Aina Damia tidak mahu ia berlaku dan kami pun tidak sampai hati untuk pisahkan mereka. Walaupun pendapatan kami tidak seberapa tetapi kami berusaha menjaga mereka sebaik mungkin,” katanya.
Bagi yang ingin membantu empat beradik ini sumbangan boleh disalurkan kepada Zuraina Abu melalui 0219141000014015 (BSN). – UTUSAN