KUALA LUMPUR: Pelakon, Datuk Aaron Aziz, 48, kesal dengan tindakan ramai individu yang menggunakan gambarnya untuk menjerat pelabur bagi membiayai projek filem mereka.
Kata Aaron, beliau beberapa kali ditipu oleh individu berbeza yang menggunakan taktik yang sama, iaitu tanpa kebenaran menggunakan imej beliau untuk tujuan berkenaan.
“Individu-individu ini mempelawa saya berjumpa mereka untuk membincangkan peluang kerjasama bernilai jutaan ringgit. Selepas berbincang, mereka akan tangkap gambar bersama saya dan gunakannya untuk ‘memancing’ pelabur.
“Saya sebelum ini tidak sedar bahawa taktik mereka itu hanyalah wayang semata-mata. Lebih mengejutkan lagi apabila ada dalam kalangan penipu-penipu ini yang berani guna gambar saya tanpa persetujuan untuk mempromosikan produk mereka.
“Meskipun tidak melibatkan sebarang kerugian wang ringgit, mereka masih melakukan kesalahan kerana menggunakan imej saya tanpa kebenaran,” katanya.
Aaron berkongsi perkara itu sewaktu sidang media drama terbaru terbitan Unifi TV, Din Tiger baru-baru ini.
Kata Aaron, tambah mengejutkan apabila muncul beberapa individu yang memaklumkan kepada beliau bahawa mereka terpedaya dengan ajakan pelaku setelah melihat gambar aktor itu yang dijadikan umpan untuk menjerat mangsa.
“Saya diberitahu mangsa mereka terpedaya, setuju untuk laburkan wang kerana dimaklumkan tentang penglibatan saya dalam projek berkenaan sedangkan tiada apa-apa persetujuan yang saya tetapkan.
“Namun saya lega kerana berpeluang jelaskan kepada mereka bahawa saya tidak terlibat dengan projek-projek berkenaan,” ujar Aaron.
Kata Aaron lagi, disebabkan pengalaman itu juga membuatkan beliau terpanggil untuk menjayakan drama Din Tiger arahan Datuk Afdlin Shauki itu.
“Saya serta merta bersetuju selepas ditawarkan berlakon dalam drama tersebut, kebetulan saya juga menentang aktiviti-aktiviti penipuan yang semakin berleluasa pada masa sekarang.
“Saya anggap ini peluang untuk saya sebarkan kesedaran kepada masyarakat mengenai jenayah scammer ini,” kongsinya.