PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) mengesahkan kehadiran calon bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 setakat pagi ini mencecah 97 peratus.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, ia satu jumlah kehadiran yang baik bagi hari pertama ujian bertulis peperiksaan itu.
Beliau berkata, pihaknya sedang dalam proses untuk mengemaskini kehadiran bagi baki calon lain.
“Kita masih lagi dalam proses untuk kemas kini. Masih ada lagi yang belum mengenal pasti dan mengesahkan kehadiran mereka.
“Ada lebih kurang 10,000 calon lagi, jadi kita harap kehadiran ini dapat kita pertingkatkan untuk memastikan anak-anak kita hadir SPM,” katanya dalam sidang akhbar Pengoperasian Peperiksaan SPM Tahun 2024 di sini, hari ini.
Katanya, secara keseluruhannya, hari pertama SPM 2024 berjalan dengan lancar yang akan dilaksanakan sehingga 6 Februari depan.
Menurutnya, jumlah keseluruhan calon SPM 2024 tahun ini adalah seramai 402,956 orang dengan 3,337 buah pusat peperiksaan di seluruh negara.
“Jumlah petugas peperiksaan pula adalah seramai 44,968 orang termasuk 5,780 pengawas peperiksaan dalam kalangan sukarelawan,” katanya.
Dalam pada itu, Fadhlina berkata, pihaknya bersedia untuk mengaktifkan semula Op Payung sekiranya berlaku bencana banjir bagi memudahkan pergerakan calon untuk menduduki SPM.
“Kita juga telah mengenal pasti negeri-negeri yang berisiko banjir terutama di di Kelantan, Johor,
Sabah, Kedah dan Pahang.
“Setakat ini semuanya dalam keadaan terkawal. Ada beberapa laporan kita terima berkaitan dengan
banjir, namun,calon-calon masih kekal berada di pusat periksaan tersebut,” katanya. – UTUSAN