KUALA LUMPUR: Sebanyak 92 saman dikeluarkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur dalam Operasi Samseng Jalanan di Jalan Tun Razak dan Jalan Semarak di sini awal pagi tadi.
Operasi sempena ambang tahun baharu bermula pukul 3 pagi itu bagi mengesan kegiatan mat rempit menjadikan kawasan terbabit untuk melakukan aksi bahaya.
Tinjauan mendapati puluhan penunggang melakukan aksi berbahaya seperti ‘wheelie’, melawan arus, membuat bunyi bising serta bersaing sesama sendiri.
Malah, aksi berbahaya itu dikesan menjadi tumpuan penunggang motosikal yang lain termasuk wanita dengan merakam video serta mengambil gambar termasuklah membuat siaran langsung di aplikasi TikTok.
Menyedari laluan keluar dan masuk di lokasi itu ditutup polis, penunggang terbabit cuba menyorokkan motosikal di premis kedai, menyusup melalui laluan gelap di antara bangunan serta melawan arus.
Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, antara kesalahan paling banyak direkodkan ialah nombor pendaftaran tidak ikut spesfikasi (27 kes), tiada lesen memandu (26 kes), tidak pamer L dan P (21 kes) dan lain-lain kesalahan
Katanya, operasi sehingga pukul 5 pagi dilaksanakan dengan kekuatan 53 keanggotaan.
“Sebanyak 38 motosikal telah disita hasil pemeriksaan 156 kenderaan.
“Semasa pemeriksaan terdapat motosikal yang ditahan telah diubah suai termasuklah tiada brek belakang dan ubah suai ekzos,” katanya kepada pemberita di lokasi.
Beliau turut memberi amaran kepada individu yang memuat naik kandungan aksi berbahaya kumpulan samseng jalanan agar menghentikan perkara itu.
Jelasnya, JSPT memantau perkara itu termasuk di TikTok dan ada tangkapan pernah direkodkan berdasarkan media sosial.
“Kita nasihatkan agar tidak terlibat dengan aktiviti merempit dan elakkan berbuat sesuatu di luar undang-undang,” ujarnya. – UTUSAN