SEPANG: Sebanyak 87 mesin melombong bitcoin serta dua buah kereta serta pelbagai peralatan eletronik dirampas dalam serbuan di lima premis di sekitar daerah ini semalam.
Dalam serbuan di Dengkil, Bandar Baharu Salak Tinggi dan Putra Perdana itu, tiga individu berusia 30 hingga 45 tahun ditahan dipercayai terbabit dalam aktiviti perlombongan mata wang kripto bitcoin secara haram.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, mesin lombong bitcoin serta dua buah kereta yang dirampas itu bernilai kira-kira RM121,800.
Beliau berkata, kesemua suspek kini ditahan dan direman pagi ini untuk disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat yang menyebabkan kerugian.
“Suspek turut disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990 atas kesalahan melakukan penyambungan elektrik secara haram dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lika tahun atau kedua-duanya sekali.
“Lebih membimbangkan, premis-premis berkenaan turut didapati melakukan penyambungan bekalan elektrik secara haram yang menyebabkan kerugian besar kepada negara.
“Siasatan awal mendapati jumlah kerugian yang dialami oleh TNB ialah sebanyak 741,439.24kwh dengan nilai anggaran sebanyak RM384,806.96,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya, pihaknya ingin menegaskan bahawa kegiatan perlombongan bitcoin haram bukan sahaja melanggar undang-undang, tetapi juga memberi kesan buruk kepada ekonomi dan keselamatan masyarakat.
Norhizam berkata, penyambungan elektrik secara tidak sah boleh membawa kepada risiko kebakaran dan kejadian tidak diingini yang mengancam nyawa serta harta benda. – UTUSAN