PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) nafi menzalimi bakal haji melalui tawaran haji musim 2025M/1446H seperti mana yang didakwa di media sosial.
TH dalam kenyataan berkata, tuduhan tersebut tidak benar sama sekali kerana pihaknya sudah menerima dan mengkategorikan semula lebih 700 golongan M40 seperti suri rumah, pelajar dan warga emas kepada golongan B40 setelah menerima rayuan serta bukti mereka.
Kata beliau, sejak 2022 lagi TH menyemak silang maklumat bakal haji dengan agensi-agensi kerajaan bagi menentukan kategori bakal jemaah B40, M40 dan T20.
“Bakal jemaah yang menerima sumbangan program bantuan serajaan seperti Sumbangan Tunai Rahmah adalah termasuk dalam kumpulan B40.
“Bagi mereka yang mempunyai pendapatan individu melebihi RM15,000 sebulan adalah termasuk dalam kumpulan T20,” katanya, hari ini.
Mengulas lanjut, TH berkata, bakal jemaah yang tidak termasuk dalam kategori B40 dan T20 adalah dikategorikan sebagai M40.
Jelasnya, TH sudah dan masih menerima permohonan rayuan menukar kategori tawaran.
“TH memandang serius tuduhan-tuduhan tidak benar yang memburukkan reputasinya dan menimbulkan keresahan dalam kalangan umat Islam dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya,” jelasnya. – UTUSAN