BUKIT MERTAJAM: Seramai 655 anggota dan pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang akan bertugas mengikut syif yang ditetapkan sepanjang Op Tahun Baru Cina bermula 28 Januari hingga 2 Februari depan.
Pengarah JBPM negeri, Mohamad Shoki Hamzah berkata, jumlah itu adalah 70 peratus daripada kekuatan anggota yang ada di Pulau Pinang ketika ini.
“Kami ada 935 anggota dan daripada jumlah terbabit, hanya 30 peratus atau 280 orang sahaja yang dibenarkan bercuti pada musim perayaan kali ini manakala kira-kira 70 peratus lagi akan bertugas bagi memantau dan bersedia untuk sebarang kes kecemasan.
“Selain itu, seramai 15 anggota yang turut dilengkapi dengan jentera FRT, EMRS dan Unit Rim juga akan ditempatkan di Plaza Tol Sungai Dua sepanjang tempoh operasi berjalan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Kempen Keselamatan Kebakaran dan Pelancaran Op Raya Sempena Sambutan Tahun Baru Cina yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, H’ng Mooi Lye.
Mengulas lanjut, Mohamad Shoki berkata, pihaknya juga akan meningkatkan pemantauan terutama di lokasi berisiko yang sering berlakunya kemalangan jalan raya, operasi memadam kebakaran dan pemantauan aktiviti rekreasi air bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.
“Berdasarkan pengalaman lalu, selalunya akan berlaku peningkatan kemalangan jalan raya, kebakaran dan kes lemas ketika musim perayaan ditambah pula dengan cuti sekolah yang telah pun bermula.
“Oleh itu, pengguna jalan raya dan pengunjung pusat rekreasi sama ada sungai atau laut diingatkan supaya menjaga keselamatan masing-masing,” katanya.
Tambahnya, sebanyak 263 kes kemalangan direkodkan pada tahun 2023 manakala 225 kes pula dicatatkan tahun lepas.
“Statistik menunjukkan trend penurunan dan kita akan terus memberi advokasi bagi meningkatkan kesedaran awam untuk mencegah kemalangan,” katanya. – UTUSAN