59.75 peratus pencarum Perkeso punyai masalah kolesterol tinggi

59.75 peratus pencarum Perkeso punyai masalah kolesterol tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

KUALA LUMPUR: Sebanyak 59.75 peratus pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mempunyai masalah kolesterol tinggi.

Pengerusi Lembaga Perkeso, Datuk Sri Subahan Kamal berkata, data itu berdasarkan analisa Program Saringan Kesihatan Perkeso setakat Disember 2024.

Katanya, penyakit tidak berjangkit seperti itu merupakan ancaman utama kepada kesihatan awam negara pada masa kini.

“Kita juga mendapati sebanyak 23.15 peratus pekerja mempunyai masalah obesiti dan 19.39 peratus pekerja menghidap kencing manis.

“Selain itu, 0.38 peratus pekerja yang disaring didapati mengalami penyakit buah pinggang tahap akhir,” katanya ketika berucap sempena Majlis Perasmian Pusat Dialisis Perkeso Cawangan Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Subahan berkata, polemik itu bukan sahaja memberi impak besar kepada individu yang menghidapinya, tetapi juga membebankan sistem kesihatan dan ekonomi negara.

Katanya, ia menunjukkan kepentingan untuk menjalani saringan kesihatan secara berkala untuk mengenal pasti sebarang masalah kesihatan dengan lebih awal.

“Dengan cara ini, kita dapat mengambil tindakan pencegahan dan rawatan yang tepat pada masanya, sekali gus meningkatkan kualiti hidup dan mengurangkan beban perubatan yang mungkin timbul di masa hadapan.

“Sebab itu Perkeso juga turut menawarkan pemeriksaan saringan kesihatan secara percuma bagi pencarum yang berumur 40 hingga 59 tahun. Ia untuk memastikan kita semua kekal sihat dan produktif,” katanya.

Dalam pada itu, Subahan turut menasihatkan orang ramai untuk menjaga pemakanan dan mengamalkan gaya hidup sihat.

“Kita perlu bijak memilih makanan yang berkhasiat, mengelakkan pengambilan makanan yang tinggi kandungan gula, garam dan lemak yang berlebihan.

“Ini dapat mengurangkan risiko penyakit kronik seperti diabetes, hipertensi dan penyakit jantung yang boleh mempengaruhi produktiviti kerja kita,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya