PETALING JAYA: Seramai 55 pembeli tiket konsert Guess Onew Fanmeeting 2024 telah menghantar notis tuntutan kepada penganjur, MND Sport & Event yang didakwa gagal melunaskan proses bayaran balik tiket.
Notis tuntutan itu diserahkan menerusi peguam Tetuan Nas Rahman & Azri Abdullah pada 23 Januari lalu.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan, mereka mendesak penganjur untuk mengembalikan duit tiket yang dijanjikan serta memberi pampasan kepada pembeli tiket dari luar negara yang sudah menempah tiket kapal terbang dan penginapan.
“Pihak penganjur dituntut membuat bayaran tersebut dalam masa 14 hari dari tarikh notis tuntutan.
“Sekiranya pihak penganjur gagal berbuat demikian, kami akan mengarahkan peguam kami untuk memfailkan saman di Mahkamah,” tulisnya.
Difahamkan sehingga tarikh notis tuntutan dikeluarkan, pihak penganjur belum memberi sebarang maklum balas kepada mereka.
Terdahulu, konsert Guess Onew Fanmeeting 2024 sepatutnya berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam pada 27 Julai 2024.
Bagaimanapun, pihak penganjur telah menukar lokasi konsert ke Plenary Hall, KLCC dan pembeli dijanjikan tiket baru pada 19 Jun 2024.
Namun, sepuluh hari sebelum konsert, pihak penganjur telah membuat pengumuman membatalkan konsert berkenaan dan berjanji membuat bayaran balik semua tiket tersebut selewatnya 5 Disember tahun lalu.
Pihak Utusan Malaysia sedang mendapatkan respons daripada penganjur. -UTUSAN