PETALING JAYA: Polis memburu tiga individu berkaitan kejadian dua kenderaan yang memandu secara melulu dalam kejadian berhampiran pusat hiburan di Jalan Klang Lama di sini, semalam.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku apabila dua kenderaan Toyota Vios dan Hilux melanggar sekumpulan lelaki sehingga mengakibatkan sekurangnya dua orang mengalami kecederaan.
Katanya, kesemua mangsa telah dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
“Bertindak atas maklumat, pihak polis telah berjaya mengesan dan menangkap lima suspek di sekitar Banting, Selangor yang mempunyai rekod jenayah lampau.
“Tiga lagi suspek yang masih bebas sedang dikesan oleh pihak polis dan kita menyeru mereka untuk menyerah diri kepada pihak polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
“Kesemua suspek akan ditahan reman esok dan polis memohon kerjasama daripada orang ramai untuk menyalurkan maklumat tentang sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang.
“Sebarang maklumat berkaitan kejadian ini boleh disalurkan kepada H o t l i n e Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau Bilik Gerakan IPD Brickfields di talian 03-22979222 atau mana-mana Balai Polis berhampiran.
Terdahulu, media melaporkan empat lelaki bagi membantu siasatan kes dua kenderaan yang memandu secara melulu dalam kejadian berhampiran pusat hiburan di Jalan Klang Lama di sini, semalam.
Azry Akmar berkata, siasatan awal mendapati punca kejadian disebabkan perselisihan faham antara kumpulan dan suspek semasa berhibur.- UTUSAN